Powered By Blogger

Sunday, August 24, 2008

Kualiti-Kualiti & Jati Diri Pelajar Cemerlang


Bijak
Pelajar yang cemerlang bijak mengurus diri, menggunakan masa, serta sumber-sumber di sekeliling. Ia menggunakan masa hidupnya dengan sebaik-baiknya; melakukan hanya yang baik dan menjauhi perkara-perkara yang ditegah. Pelajar yang cemerlang juga sentiasa berusaha memperbaiki dirinya. Ia cenderung melakukan serta mempelajari perkara-perkara yang mendatangkan faedah.

Cergas
Pelajar yang cemerlang sentiasa menjaga kesihatan fizikal, minda dan emosi diri. Ianya juga menjaga pemakanan serta membuat latihan jasmani. Kebijaksanaannya dalam mengurus diri serta kecenderungan melakukan hanya aktiviti-aktiviti yang berfaedah membuatkan dirinya lebih berdisiplin, sihat, dan cergas. Ini juga menyebabkannya lebih tangkas dan aktif dalam aktiviti-aktiviti yang diceburinya.

Dedikasi
Pelajar yang cemerlang amat rajin, bersemangat tinggi serta komited dalam melaksanakan segala tugas dan tanggungjawabnya. Apa juga tugasannya, akan dilakukan dengan sepenuh hati. Pelajar yang cemerlang akan melakukan dengan penuh tanggungjawab dan iltizam untuk mencapai hasil yang terbaik.

Elok
Pelajar yang cemerlang baik dari segi penampilan diri, tuturkata dan perbuatan. Ia mempunyai perwatakan yang ceria, yakin dan senang didampingi. Ianya juga menjauhi diri daripada perbuatan maksiat. Ianya sedar bahawa mereka yang bergelumang dengan maksiat mempunyai jiwa yang resah. Hidup juga tidak diberkati Tuhan.

Pelajar yang cemerlang menjadi contoh kepada pelajar yang lain, baik dari segi gerak-gerinya, fikiran dan percakapannya serta tindakan-tindakannya. Keelokan peribadinya disanjung baik oleh orang lain termasuk guru-guru, ibu-bapa serta keluarganya.

Faham
Pelajar yang cemerlang lebih banyak mendengar daripada bercakap. Sikapnya yang demikian, menyebabkan ia lebih banyak berfikir, menganalisa dan mengetahui sesuatu isu sebelum ianya memberi maklumbalas. Ingatannya juga kuat kerana ia mempunyai kualiti yang ingin benar-benar memahami apa yang didengar, dibaca, dilihat atau yang dipelajarinya.
Artikel Motivasi untuk Pelajar - Remaja - Motivasi Belajar : Kualiti-Kualiti & Jati Diri Pelajar / Remaja Cemerlang
Gigih
Pelajar yang cemerlang sentiasa melakukan kerjanya dengan penuh minat sehingga kadang-kadang tidak menyedari yang masa sudah berlalu begitu lama. Ia seronok belajar setiap mata pelajaran. Ia bijak dan mudah menyesuaikan diri dengan semua guru yang mengajarnya.

Hasrat
Pelajar yang cemerlang sentiasa menyimpan pada hati kecilnya suatu hasrat untuk menjadi manusia yang sangat berguna dan berjaya. Hasratnya untuk mencapai cita-cita atau impiannya memberikan suntikan motivasi kepadanya untuk berusaha bersungguh-sungguh mencapai kejayaan dalam kehidupannya.

Iman
Pelajar yang cemerlang taat kepada perintah Tuhan dan berusaha mencapai kejayaan selaras dengan norma-norma hidup iaitu mengamalkan apa yang disuruh dan menjauhkan apa sahaja yang dilarang. Ianya juga mentaati ibubapa, pemimpin-pemimpin, guru-guru, undang-undang negara serta segala peraturan dan amalan yang harus diikuti.

Pengiktirafan dan ganjaran datang kepada mereka yang menunjukkan kualiti yang baik dalam perbuatannya. - Aristotle

1 comment:

faizal mohamad twon tawi said...

salam

Kawe cukup minat entry ni.sebagai manusia kita perlukan jati diri dan pembangunan diri supaya kita sentiasa bermotivasi untuk melakukan tugas.InsyaAllah