Powered By Blogger

Wednesday, July 30, 2008

Adakah orang Melayu belum mencapai tahap seperti yang Pak Ungku harapkan?

APA KATA PAK UNGKU.....

UNGKU AZIZ: Ya. Sebabnya orang Melayu sendiri selepas Perang Dunia Kedua tidak jelas apa yang mereka mahu. Pada satu masa mereka mahukan pembangunan, pada masa lain mereka mahu yang lain pula.

Pada tahun 1980-an misalnya, orang Melayu dilanda budaya mengejar wang, gila wang dan mahu cepat kaya. Kalau tidak kaya pun, mereka mahu mendapat duit dengan mudah. Ini merosakkan ekonomi dan masyarakat orang Melayu. Apabila pengaruh budaya wang ini sudah reda, datang pula tumpuan hebat mengikut aliran dunia iaitu dalam bidang agama.

Sejak 20 tahun lalu, bertambah hebat orang Melayu memikirkan tentang agama. Bagi mereka yang paling penting ialah kedudukan di akhirat. Ini menjadi masalah sebahagian besar orang Melayu. Ada yang menghantar anak-anak belajar ke Pakistan dan Afghanistan. Apabila mereka balik, mahu kerja apa? Bagaimana bangsa Melayu hendak maju melalui apa yang mereka dapat di sana?

Mereka ini percaya kalau hantar anak atau belajar di negara-negara berkenaan akan dapat banyak pahala. Sedangkan kalau di akhirat pun, bukan ada jaminan mereka akan masuk syurga.

Orang yang terbenam dalam masalah kemiskinan pula terpengaruh dengan golongan ini lalu mengabaikan nasib sendiri. Mereka kata ``kerana kemiskinan tidak dapat diatasi, lebih baik tumpukan kepada akhirat, dunia kita tinggalkan begitu saja.''

Tetapi ketika gelombang mengejar agama dan terlalu mementingkan akhirat ini semakin besar, orang Melayu masih lagi percaya kepada bomoh dan sebagainya. Hari ini boleh dibaca dalam akhbar bagaimana orang yang terpelajar, berpangkat tinggi atau berketurunan raja masih dipengaruhi oleh bomoh. Saya pandang... macam mana orang semacam ini, mereka tahu ini perkara syirik tetapi mereka buat juga.

Orang Melayu juga masih dibelenggu budaya rasuah. Ini ada kena-mengena dengan budaya mengejar dan mementingkan wang tadi. Kadang-kadang, orang Melayu mencampurkan budaya mementingkan wang, agama dan gejala rasuah. Selagi dipengaruhi titian sebegini, orang Melayu tidak boleh maju.

Orang Melayu bagaimana Pak Ungku mahu tinggalkan?

UNGKU AZIZ: Saya hanya boleh beri mereka peluang untuk berfikir. Dalam Islam pun, Rasulullah s.a.w. pun meminta umatnya berfikir. Nabi kata orang yang berfikir untuk kebaikan dalam jangka pendek pun, jauh lebih baik daripada orang yang buat ibadat. Dan kalau kita mahu mengubah keadaan, kita mesti perbetulkan diri dan minda sendiri.

Di sebalik kegagalan mengubah pemikiran dan minda orang Melayu, apakah idea lain Pak Ungku yang berjaya memberi kesan kepada orang Melayu?

UNGKU AZIZ: Contoh yang masih topikal ialah Dasar Pandang ke Timur. Ini sudah diterima oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dan kerajaan. Dalam bidang pendidikan, menerusi ideologi dasar ini, kita wujudkan program penghantaran pelajar Melayu dari sekolah menengah ke Jepun selepas dua tahun belajar di UM. Setiap tahun kira-kira 150 pelajar pergi ke sana dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Jepun dan Malaysia.

Kedua, Pusat Asasi Sains di UM. Pada mulanya, orang tidak percaya pada masa itu iaitu dalam tahun 1970-an selepas peristiwa 13 Mei 1969, bahawa anak Melayu dari sekolah rendah Melayu boleh belajar ilmu sains dalam bahasa Melayu apabila memasuki sekolah menengah Melayu.

Saya sediakan cara mengajar orang Melayu dalam bahasa Melayu supaya boleh lulus sekolah menengah dan masuk universiti. Ini berbeza dengan langkah kerajaan sekarang iaitu mengajar semula Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

Di universiti, kita juga boleh mengajar sains dalam bahasa Melayu selepas itu. Saya buat sistem supaya orang boleh belajar kejuruteraan dan perubatan dalam bahasa Melayu. Sebabnya orang Melayu berfikir dalam bahasa Melayu.

Dan hari ini, menerusi penggunaan bahasa Melayu sebagai pengantar pengajaran Sains di sekolah menengah dan juga Kejuruteraan dan Perubatan di universiti, ribuan anak Melayu sudah jadi profesor dalam bidang perubatan atau bekerja profesional dalam bidang kejuruteraan.

Apa perasaan Pak Ungku apabila dikatakan pelajar-pelajar Melayu lepasan universiti sekarang semakin menurun kualitinya?

UNGKU AZIZ: Memang saya sedih. Kualiti mereka menjadi lebih rendah sebab azam hendak belajar semakin kurang. Ibu bapa tidak berminat ambil tahu pelajaran anak-anak. Mereka ingat sebab ada banyak duit cukup dengan memanggil tutor ajarkan anak dan bagi duit begitu saja. Ibu bapa tidak ambil berat membantu anak-anak.

Selain azam, pelajar pula sebenarnya ramai yang tidak berminat betul-betul mahu belajar. Orang Melayu sudah hilang perhatian ini. Semuanya nak cepat, zaman kehidupan segera, mi segera, bercinta segera dan belajar pun mahu segera juga.

Pemimpin Melayu perlu mengawal pengaruh segera dan ingin cepat ini terutama di kalangan pelajar Melayu. Tidak ada penyelesaian segera dalam apa juga bidang.

Kelemahan lain, tenaga pengajar, profesor...

UNGKU AZIZ: Masalahnya ialah nisbah guru dengan pelajar. Seorang pensyarah bercakap di hadapan lebih 50 orang. Lebih malang kalau mengajar 200 pelajar. Kalau 200 orang mendengar, mustahil boleh belajar. Nisbah di universiti yang baik sejak dulu ialah antara 30 dan 40 pelajar.

Universiti terunggul pula meletakkan nisbah seorang pensyarah dengan 15 pelajar. Ini memberi ruang berfikir dan bersoal balas dengan pensyarah, bukan yang pandai menghafal tetapi tidak berfikir.

Difahamkan Pak Ungku minat mengkaji pantun. Bila buku koleksi pantun Pak Ungku akan siap?

UNGKU AZIZ: Belum siap lagi. Saya sudah baca lebih 3,000 pantun. Hari-hari saya cari pantun Melayu sampai bertimbun-timbun di rumah saya. Kalau dikaji betul-betul, pantun dan teka-teki menggambarkan minda Melayu tulen dan asal-usul pemikiran Melayu. Ia unik dan identiti serta kelebihan orang Melayu. Intisari pemikiran dan minda Melayu terdapat dalam pantun.

Malah kalau orang Melayu mempelajari pantun-pantun bangsa sendiri, orang Melayu boleh maju jaya.

Saya juga ingin mencadangkan bagaimana menganalisis pantun dengan cara dan dimensi yang baru. Analisis lama mengenai pantun Melayu dipengaruhi pemikiran Barat iaitu Inggeris dan Belanda yang memang hendak merosakkan minda Melayu.

Berapa banyak buku yang Pak Ungku sudah baca?

UNGKU AZIZ: Lebih 70,000 buku iaitu sejak 70 tahun lalu. Saya sendiri memiliki lebih 7,000 buku di beberapa tempat iaitu di rumah dan pejabat-pejabat saya. Kamus saja saya ada 20 kamus yang masih dipakai di bilik saya di rumah. Saya juga menulis lebih 1,000 kertas kerja mengenai pelbagai bidang yang telah diterbitkan.

Berapakah jumlah buku yang Pak Ungku cadangkan untuk pelajar baca dalam sehari?

UNGKU AZIZ: Kalau boleh mereka mesti baca sekurang-kurangnya satu buku dalam sebulan. Itu jumlah paling sikit.

No comments: