Powered By Blogger

Friday, October 24, 2008

FALSAFAH : PERKAHWINAN


Perkahwinan ialah hubungan terikat antara dua orang yang diiktirafkan oleh pihak berkuasa sivil dan atau diikat oleh kepercayaan agama masing-masing. Sifat duaan ini, iaitu kontrak undang-undang terikat serta janji kesusilaan, menyebabkan perkahwinan amat sukar disifatkan. Dalam islam pula, falsafah perkahwinan dapat di terangkan dalam Firman Allah S.W.T: (Yaasin: 36). "Maha suci Allah yang menjadikan kejadian semua berpasangan dari sesuatu yang tumbuh di bumi, dari mereka (manusia) dan dari sesuatu yang mereka tiada mengetahui."


Jika kita perhatikan kejadian di langit dan di bumi, jelas menampakkan kebenaran ayat ini. Setiap yang kita saksikan ada pasangannya. Keadaan tanah di bumi, tidak sama rata semuanya, bahkan dijadikan berpasangan antara tinggi dan rendah. Di suatu kawasan penuh dengan tumbuhan menghijau. Di kawasan yang lain berpadang pasir. Daratan berpasangan dengan lautan. Pokok-pokok yang meliputi bumi ini ada yang jantan dan betina. Kemudian Allah jadikan pula malam berpasangan dengan siang meliputi alam ini. Binatang-binatang yang hidup di daratan dan di lautan juga berpasangan jantan dan betinanya. Demikian pula manusia. Atom yang sangat halus yang tidak dapat dilihat dengan pandangan mata dan terdiri dari komponen-komponen yang berpasang-pasangan. Jika kita bertanya apakah hikmat Allah S.W.T. menjadikan berbagai-bagai jenis kejadian ini dalam keadaan berpasangan?

Dengan memberikan sedikit perhatian kepada kejadian alam ini, anda pasti mengerti mengapa anda dijadikan lelaki atau perempuan. Kedua-duanya dari acuan yang sama iaitu manusia yang dibentuk dari unsur-unsur kemanusiaan. Tetapi yang satunya berwatak keras dan yang satu lagi lemah gemalai. Gerak langkah melambangkan kekuatan dan gerak langkah wanita melambangkan keindahan. Sifat-sifat tersendiri yang ada pada lelaki dan wanita itu menunjukkan bahawa kekuatan lelaki dijadikan sebagai pelindung kecantikan wanita.


Betapa indahnya kehidupan manusia ini dengan adanya pasangan di dalam kejadiannya. Betapa jemu dan bosan kehidupan ini jika yang menjadi penghuni alam lelaki semuanya, atau perempuan semuanya. Jadi, kejadian berpasangan antara lelaki dan perempuan ini merupakan ramuan yang mengindahkan kehidupan. Allah S.WT. berfirman: "Di antara tanda-tanda kebesaran-Nya ia menjadikan untuk kamu pasangan dari jenis kamu sendiri untuk kamu tinggal tenteram di sampingnya dan dijadikan di antara kamu kasih sayang dan belas kasihan. Semuanya itu menjadi tanda-tanda bagi orang-orang yang berfikir. " (ar-Ruum:21). Kejadian berpasangan juga sebagai saluran untuk meneruskan keturunan manusia.Allah S.WT. berfirman: "Wahai manusia bertakwalah kepada Tuhan kamu yang menjadikan kamu semua dari jiwa yang satu dan dijadikan daripadanya pasangannya dan berkembang daripada keduanya banyak lelaki dan perempuan... " (An-Nisa':1)


Dengan keterangan di atas jelas sekali hikmat Allah menjadikan manusia dari lelaki dan wanita, pertama untuk memperindahkan kehidupan manusia itu sendiri. Kedua untuk mengekalkan keturunan manusia di dalam jangka waktu yang panjang sehingga Allah S.W.T menentukan berakhirnya sejarah manusia di bumi ini. Ini semuanya adalah rahmat Allah S.WT. kepada manusia yang diamanahkan untuk mengendalikan utusan di bumi sebagai khalifah-Nya. Allah menciptakan pasangan untuk manusia agar mereka dapat hidup seiring sejalan, berbahagi suka dan duka serta tetap bersama dalam melayari kehidupan yang penuh dengan onak, duri, dugaan, tentangan dan cabaran demi mencapai satu matlamat mendapatkan keluarga sakinah mardatillah.


Selain ketenangan di dalam perkahwinan, Allah juga menciptakan mawaddah dan rahmah di hati suami dan isteri. Sebahagian ahli tafsir membezakan makna mawaddah dan rahmah ini. Bagi mereka, mawaddah adalah rasa cinta berdasarkan syahwat kemanusiaan, iaitu keinginan untuk melakukan hubungan suami isteri yang akan melahirkan dan mengembangkan keturunan manusia. Mawaddah atau keinginan untuk melakukan hubungan suami isteri ini ada hadnya seiring dengan umur manusia itu sendiri. Apabila seorang lelaki telah berumur 60-70 tahun dan perempuan berumur 50 tahun, mawaddah ini akan berkurangan. Maka, pada saat inilah Allah akan menimbulkan rahmah atau kasih sayang yang suci murni di hati pasangan berkenaan.


Menurut Prof Dr Hamka, rahmah lebih tinggi kedudukannya daripada mawaddah sebab ia kasih mesra di antara suami isteri yang bukan lagi berasaskan keinginan syahwat, sebaliknya rasa kasih sayang murni yang tumbuh dari jiwa yang paling dalam sehingga suami isteri merasakan kebahagiaan yang tidak bertepi dan ketenangan yang tidak berbatas. Pada masa ini mereka bukan lagi berfikir mengenai tongkat ali, Viagra dan ubat-ubat lain bagi mengembalikan kekuatan tenaga batin tetapi yang mereka inginkan adalah mengisi hari-hari akhir ini dengan beribadah dan mendekatkan diri kepada Allah sedekat-dekatnya secara bersama-sama. Mereka juga berusaha memberikan contoh yang baik, teladan dan nasihat kepada anak cucu supaya mereka tidak salah dalam memilih jalan hidup di dunia yang penuh dugaan ini. Inilah hakikat rahmah itu.


Allah akan menurunkan rahmah di dalam satu keluarga apabila keluarga berkenaan dibina atas niat mencari keredaan Allah. Oleh sebab itu, di dalam proses membina satu rumah tangga, Rasulullah memberikan bimbingan kepada umat Islam agar memilih pasangan kerana empat prinsip, iaitu kecantikan, keturunan, kekayaan dan agamanya. Akan tetapi Rasulullah memberatkan agar agama menjadi keutamaan kerana agama sebab kekurangan dalam rupa, harta dan nasab atau keturunan akan disempurnakan oleh agama. Wanita yang beragama akan timbul di wajahnya kecantikan yang lahir dari jiwanya dan menyinari segenap tubuhnya, bukan kecantikan palsu yang diselaputi solekan. Wanita yang beragama juga akan melahirkan sifat qana’ah, iaitu berasa cukup dengan yang mereka miliki dan tidak terlalu memaksa diri untuk mencapai sesuatu. Sifat inilah yang dikatakan oleh ahli tasawuf dengan kekayaan yang sebenarnya.


Sebelum sesebuah keluarga dibentuk, Islam telah menetapkan terlebih dahulu pertimbangan dalam mencari pasangan dengan tujuan menjamin kesejahteraan. Rasulullah S.A.W. melarang kecantikan dan kekayaan menjadi ukuran penting di dalam memilih isteri, tetapi hendaklah memilih yang berpegang kepada agama. Sabda baginda yang bermaksud: "Janganlah mengahwini wanita-wanita kerana kecantikan. Mungkin kecantikan itu memburukkan hidup. Jangan mengahwini mereka kerana harta, mungkin harta itu menyebabkan kezaliman mereka. Tetapi kahwinilah mereka atas dasar agama. Seorang sahaya yang hitam, berbibir tebal yang beragama adalah lebih baik. (Diriwayatkan oleh Ibn Majah).


Begitu juga bagi seorang wanita, janganlah menjadikan pangkat dan harta sebagai pertimbangan asasi di dalam memilih suami, kerana pangkat dan harta tanpa akhlak dan agama menjadi punca fitnah yang akan merosakkan kehidupan rumahtangga. Agama pula membezakan seorang manusia dengan manusia yang lain, bukan kerana keturunan dan kedudukan seperti firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah adalah orang yang paling takwa.” Dalam keluarga Islam, hubungan yang dihalalkan melalui pernikahan itu bukan sekadar memenuhi hawa nafsu semata-mata tetapi ia satu ibadah yang bertujuan melahirkan generasi atau zuriat yang soleh. Keluarga yang soleh ini akan melahirkan masyarakat yang soleh dan akan menjadi asas bagi negara yang soleh, bertamaddun dan berwawasan. Konsep pernikahan seperti inilah yang membezakan manusia dengan haiwan.


Sebagai kesimpulannya, salah satu cara terbaik ialah dengan menanamkan kesedaran kepada masyarakat mengenai hakikat atau falsafah perkahwinan dalam Islam sebagai alat mencipta keluarga sakinah, bukan sekadar memenuhi keperluan syahwat semata-mata. Pengisian nilai-nilai agama sangat diperlukan dalam sebuah keluarga agar memiliki matlamat yang jelas dalam mengisi sebuah perkahwinan.


RUJUKAN

http://intim.wordpress.com/ - Capaian pada 15 Julai 2007

http://ms.wikipedia.org/wiki/Perkahwinan - Capaian pada 15 Julai 2007



No comments: