Powered By Blogger

Friday, October 24, 2008

FALSAFAH CINTA






Cinta itu benar dalam dustanya. Cinta itu dusta dalam kebenaran... namun cinta itu akan jadi benar apabila kita berhenti mencari. Cinta itu benar apabila kita sudah bersedia untuk berkorban & bertanggungjawab, susah & senang. Saya fikir dalam cinta ada segalanya..

Falsafah ialah satu disiplin ilmiah yang mengusahakan kebenaran yang umum dan asas. Perkataan falsafah dalam bahasa Melayu berasal daripada bahasa Arab yang juga berasal daripada perkataan yunani philosophia, yang bermaksud "cinta kepada hikmah".Secara umumnya, falsafah mempunyai ciri-ciri seperti berikut: Merupakan satu usaha pemikiran yang tuntas. Tujuannya adalah untuk mendapatkan kebenaran.

Sehingga hari ini, ahli-ahli falsafah masih belum mencapai kata sepakat mengenai definisi falsafah. Malah ada yang mengatakan bahawa falsafah merupakan sesuatu yang tidak dapat didefinisikan. Ini adalah kerana kita dapat berfalsafah tentang pengertian falsafah. Maka dengan itulah kita akan menemui pendapat yang berbeza-beza mengenai definisi falsafah di antara ahli-ahli falsafah itu sendiri. Bagi rujukan umum, di sini kita hanya mengambil satu contoh definisi falsafah daripada Drs. Sidi Gazalba:

Berfalsafah ialah mencari kebenaran dari kebenaran untuk kebenaran, tentang segala sesuatu yang dimasalahkan, dengan berfikir secara radikal, sistematik dan universal. Apabila seseorang berfikir demikian dalam menghadapi masalah dalam hubungannya dengan kebenaran, adalah orang itu telah memasuki falsafah. Penuturan dan uraian yang tersusun oleh pemikirannya itu adalah falsafah.

Cinta merupakan satu ukuran asas pengalaman manusia yang memberikan antaranya, perasaan kasih sayang, tarikan, asas kemesraan dan keserasian antara perorangan, rela berkorban untuk orang lain, perasaan tertarik dan hubungan kepada alam, benda hidup ataupun makhluk lain. Ia dapat ditunjukkan melalui perasaan, emosi, kelakuan, pemikiran, persepsi dan sikap. Ia mempengaruhi, mendasari dan menetukan pola utama hubungan antara perorangan dan pengenalan diri.

Siapakah dan apakah yang terbayang apabila kita bercakap tentang cinta? Selalunya terbayang Romeo dan Juliet, Mark Anthony dan Cleopatra, Qaisy dan Laila, Uda dan Dara, Hang Tuah dan Puteri Gunung Ledang...? Lalu terbayang pula pertemuan asyik mahsyuk, derita cinta, tinggal saudara, kehadiran orang ketiga dan pengorbanan cinta. Kita sudah ada gambaran kekal dalam pemikiran kita bila disebut tentang keagungan cinta. Daripada Titanic yang tenggelam, hinggalah Gunung Ledang yang menjulang.

Imam Ghazali pernah berkata:
“Barang siapa mengaku empat perkara tanpa disertai dengan empat perkara yang lain, maka dia adalah pendusta. Barang siapa mengaku cinta syurga tetapi tidak beramal dengan ketaatan, maka dia pendusta. Barang siapa mengaku cintakan Nabi Muhammad SAW tetapi tidak cinta kepada ulama dan fakir miskin, maka dia adalah pendusta. Barang siapa mengaku takutkan neraka tetapi tidak tinggalkan maksiat, maka dia adalah pendusta. Barang siapa mengaku cinta Allah tetapi keluh kesah dengan ujianNya, maka dia adalah pendusta.”

Oleh itu, jelaslah di sini, cinta bukan tertumpu kepada perasaan antara manusia yang berlainan jantina sahaja. Cinta itu luas jika kita dapat mendefinisikannya. Umar Khayyam pernah berkata, “Hanyalah dengan mencintai Tuhan dan Rasulnya, cinta itu khalis dan kudus”.

Kalau cinta apa tandanya? Secara mudahnya dapat dilihat petanda seseorang itu mencintai sesuatu. Kalau cinta, rindu untuk bertemu. Kalau cinta, suka apabila disuruh. Kerana cinta melankolik, manusia sanggup berbuat apa saja. Namun begitu, perlulah ada batasnya. Ahli Sufi menyatakan cintailah yang memberi nikmat dan janganlah mencintai nikmat yang diberikan. Cintai Tuhan yang menganugerahkan kenikmatan dan ketenangan dalam diri kita, bukannya mencintai kenikmatan itu sendiri sehinggakan tidak boleh menerima hakikat jika kenikmatan itu ditarik semula.

Tokoh falsafah barat berkenaan cinta yang paling terkenal antaranya ialah William Shakespear yang menghasilkan banyak karya dan puisi tentang cinta. Beliau sangat terbuka dan berpandangan jauh dalam percintaan. Antara puisi yang pernah dihasilkannya ialah “Love Is”.



“Love is as sweet and musical as bright Appolo’s lute,Strung with his hair; And when love speaks, the voice of all the gods make heaven drowsy with the harmony...” William Shakespear(1564 – 1616)

Cinta dapat dipandang daripada pelbagai sudut yang sangat luas. Cinta memberi pengertian yang sangat subjektif. Tokoh-tokoh falsafah cinta mendefinisi cinta tanpa sempadan. Walau bagaimanapun, sebagai seorang Islam, cinta yang abadi adalah cinta kepada Tuhan Yang Maha Esa. Cinta seharusnya diletakkan di tempat yang betul. Cinta perlu berada dalam sempadannya sendiri mengikut logik akal dan kehendak agama.

Cinta tidak perlu menjerumuskan diri ke dalam kebinasaan. Ianya perlu berpaksi pada kebenaran yang hakiki. Bercinta sesama manusia perlu ada sempadannya. Kerana cinta yang ajaib itu bukan berdasarkan nafsu semata-mata tetapi juga bertunjangkan kasih sayang dan agama.

Cinta tidak hanya bersandar kepada sesuatu yang bersifat fizikal. Ianya terbit dari sekeping hati yang ikhlas untuk mencintai. Tidak perlu bersentuhan tangan, kerana mereka sudah bersentuhan hati. Tidak juga perlu kerlingan mata kerana mereka sudah pun berbalas doa.

Cinta tidak terhad sesama manusia atau Tuhan sahaja. Cinta juga boleh pergi kepada ilmu. Kecintaan kepada ilmu membawa kita keinginan untuk meneroka sesuatu yang baru. Kadangkala daripada ilmu itulah membawa cinta lain kepada kita. Ada ketikanya juga, cita-cita untuk menjadi lebih baik adalah satu cinta.

Kesimpulannya, cinta boleh dilihat dalam perspektif yang sangat luas. Jangan bataskan diri kita dalam mencari kebenaran cinta. Namun begitu, sempadankan diri supaya tidak terjerumus dalam cinta plastik yang membawa banyak keburukan kepada diri kita. Mulakan pencarian kita kepada cinta yang hakiki iaitu cinta kepada Yang Maha Esa.

RUJUKAN

Habiburrahman El Shirazy (2006) “Ayat-ayat Cinta – Sebuah Novel Pembangunan Jiwa”. Kuala Lumpur: Ar-Risalah Product Sdn Bhd.

Pahrol Mohd Juoi (2006) “Tentang Cinta- Isu Remaja Kontemporari”. Kuala Lumpur: Telaga Biru Sdn Bhd.

www.wikipedia.com/falsafahcinta. Capaian pada 17 Februari 2007.
www.yahoo.com/cinta. Capaian pada 17 Februari 2007.

No comments: