Powered By Blogger

Monday, September 1, 2008

Cuti 16 September tidak wajar dipolitikkan

lagi... sedutan daripada Utusan Malaysia-2 Sept


Khoo Kay Kim
Tokoh sejarah

KUALA LUMPUR 1 Sept. - Pemberian cuti umum pada tarikh ulang tahun penubuhan Malaysia iaitu 16 September tidak wajar dipolitikkan bagi tujuan untuk meraih undi rakyat.

Tokoh sejarah, Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim (gambar) berkata, rakyat Malaysia terlebih dahulu perlu difahamkan daripada segi faktor sejarah mengenai kewajaran cuti umum diberikan pada tarikh tersebut.

''Tarikh 16 September boleh diberi cuti umum tetapi rakyat Malaysia perlu diberi pemahaman mengapa tarikh itu dipilih.

''Mereka mesti dijelaskan agar tidak ada yang salah faham. Saya harap ia dilakukan bukan kerana hendak dapat undi,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan supaya pimpinan pembangkang di lima negeri yang dikuasai pakatan pembangkang mengisytiharkan 16 September ini sebagai cuti umum.

Anwar berkata cuti umum itu wajar kerana 16 September adalah tarikh ulang tahun penubuhan Malaysia dan ia merupakan hari bersejarah, sama seperti 31 Ogos.

Menurut Kay Kim, 16 September 1963 merupakan hari pengisytiharan Malaysia dan juga hari kemerdekaan Sabah dan Sarawak daripada British.

Jelasnya, 31 Ogos 1957 pula merupakan tarikh tanah Melayu dibentuk menjadi negara bangsa.

''Pada tarikh itu, Raja-Raja Melayu telah bermurah hati menyerahkan Tanah Melayu kepada rakyat dan menjadikan negara ini sebagai sebuah negara Raja Berperlembagaan,'' ujarnya.

Namun begitu, beliau memberitahu, pada tarikh itu, Sabah dan Sarawak masih belum merdeka dengan Sarawak dijajah oleh Keluarga Brooke manakala Sabah pula diperintah oleh Kompeni Borneo Utara.

''Jika dilihat daripada segi sentimen sejarah, rakyat Sabah dan Sarawak tidak berpuas hati tarikh 31 Ogos sebagai hari sambutan kemerdekaan mereka kerana kedua-dua negeri itu hanya merdeka pada 16 September 1963,'' tegasnya.

Tambah beliau, 16 September wajar diisytiharkan sebagai cuti umum, namun ia perlu dijadikan sebagai finale kepada perayaan sambutan Hari Kemerdekaan negara.

Sementara itu, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Noraini Ahmad ketika dihubungi berkata, cadangan pemberian cuti umum pada 16 September tidak sesuai kerana negara ini sudah pun mempunyai cuti kemerdekaan iaitu pada 31 Ogos.

''Lagi pun negara ini sudah mempunyai terlalu banyak cuti umum, bagi saya memadai dengan cuti 31 Ogos,'' katanya.

Jelas beliau, pemberian cuti umum yang terlalu banyak tidak elok untuk produktiviti pekerja dan ia sudah memadai dengan cuti umum yang sedia ada.

2 comments:

Anonymous said...

yea.
tol gak
kang byk cuti lemak pulak satu badan
hih hi
btw, mesti dak sekolah xsuke pasal isu ni

Anonymous said...

umm tol tu