Powered By Blogger

Monday, September 1, 2008

Anwar cadang 16 Sept. cuti umum

Petikan daripada Utusan Malaysia - 2 September 2008

BUTTERWORTH 1 Sept. - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan supaya pimpinan pembangkang di lima negeri yang dikuasai pakatan pembangkang mengisytiharkan 16 September ini sebagai cuti umum.

Beliau berkata, cuti umum itu wajar kerana 16 September adalah tarikh ulang tahun penubuhan Malaysia dan ia merupakan hari bersejarah, sama seperti 31 Ogos.

''Kita mahu membuktikan kepada rakyat bahawa pakatan pembangkang tidak mahu menipu sejarah. Tarikh (16 September) ini merupakan hari yang amat bersejarah.

''Jadi, kita harap lima negeri yang kita kuasai sekarang boleh diberi cuti umum pada 16 September ini,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis kesyukuran sempena kemenangannya dalam pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh di tapak Ekspo Seberang Jaya di sini malam tadi.

Turut hadir ialah Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Pesuruhjaya Pas negeri, Saleh Man.

Kit Siang yang turut berucap pada majlis itu mencadangkan perkara yang sama.

Anwar sebelum ini menyatakan keyakinan bahawa sekurang-kurangnya 30 wakil rakyat Barisan Nasional (BN) khususnya dari Sabah dan Sarawak akan menyertai pembangkang 16 September ini bagi membolehkan pembangkang menubuhkan kerajaan baru.

Sementara itu, dalam ucapannya juga, Anwar berjanji untuk melepaskan semua tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri jika pakatan pembangkang berjaya mendirikan kerajaan.

''Pada masa yang sama, janji kita (pembangkang) untuk menurunkan harga minyak kepada RM2 (seliter) akan tetap kita tunaikan," katanya.

Beliau menambah, Bajet 2009 yang diumumkan kerajaan baru-baru ini adalah bertujuan untuk mengabui mata rakyat termasuk memberi 'gula-gula' kepada penduduk Sabah dan Sarawak.

No comments: